HULU SELANGOR – Penyandang kerusi Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan berkata beliau tidak suka menyerang peribadi pihak lawan dalam siri ceramah politik semasa kempen pilihan raya umum ini.
Sebaliknya, beliau berkata mereka yang gemar menyerang peribadi pihak lawan jelas mempamerkan etika yang buruk selain ketandusan modal berkempen.
“Saya tak guna isu kelemahan pihak lawan untuk menang dalam pilihan raya umum ini, sebaliknya saya lebih gemar menjelaskan kepada rakyat apa yang Barisan Nasional (BN) telah buat dan berjanji akan buat.
“Saya tidak mahu menang di atas kekurangan pihak lawan saya, tetapi saya mahu menang di atas rekod BN yang terbukti cemerlang dan membela rakyat serta mempunyai perancangan kukuh di masa hadapan,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya kelemahan pentadbiran pakatan PKR-PAS-DAP, terutama di Selangor jelas memberi markah bonus kepada BN.
Beliau berkata pengundi di Parlimen Hulu Selangor juga kini dapat melihat jasa BN termasuk dalam soal pembinaan lebuh raya di Sungai Buaya yang sebelum ini diminta penduduk, juga sudah hampir siap.
“Sebanyak 300 buah rumah mampu milik di Hulu Bernam sudah siap, pembinaan sekolah Cina dan Tamil di Bukit Beruntung juga dah siap, dua buah masjid iaitu di Bukit Sentosa dan Sungai Tinggi juga sudah hampir siap. Ini semua janji-janji BN dan kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata saingan empat penjuru di kerusi Parlimen itu jelas menunjukkan amalan demokrasi masih subur di negara ini dan penyertaan yang banyak ini sekali gus mempamerkan kepercayaan calon-calon terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan proses pilihan raya.
“Saya alu-alukan pertandingan empat penjuru ini supaya rakyat boleh membuat penilaian sendiri siapa yang mampu menjadi wakil mereka kelak,” katanya.
Kamalanathan juga berjanji akan bekerja keras bagi memastikan kerusi Parlimen itu dapat dipertahankan.
“Saya tidak bekerja hanya pada pilihan raya sahaja. Sebaik sahaja saya menang pilihan raya kecil April 2010, saya manfaatkan tempoh tiga tahun itu untuk bekerja bersungguh-sungguh.
“Disebabkan momentum gerak kerja pilihan raya kecil itu agak tinggi, saya akan kekalkan sehingga hari pengundian 5 Mei ini dan itulah yang dihasratkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Kamalanathan akan ditentang Khalid Jaafar daripada PKR serta dua calon Bebas, Datuk Seri Dr R. Santhara Kumar dan Radzali Mokhtar.
Pada pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 2010, Kamalanathan mengalahkan Datuk Zaid Ibrahim (PKR) dengan majoriti 1,725 undi.